Showing posts with label BERITA CUEPACS. Show all posts
Showing posts with label BERITA CUEPACS. Show all posts

Tuesday, October 19, 2010

KONGRES CUEPACS TETAP MAHU KERAJAAN PERTIMBANGKAN 2 BULAN BONUS.


Tuan Presiden Cuepacs Tn. Hj. Omar Bin Osman mempengerusikan Mesyuarat Khas ini
En. Ashaari Maarof S/U Agung KSKM Pusat turut serta di Mesyuarat Khas ini

Bernama
19/10/2010


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama)-- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini.
Presidennya, Omar Osman berkata berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus tahun ini, beliau yakin kerajaan mampu berbuat demikian.

"Pertumbuhan KDNK negara kita telah melonjak kepada 10.5 peratus dan keadaan ekonomi negara sedang mantap, jadi tidak mustahil perkara itu (bonus) dapat dilaksanakan.
"Kita turut menghantar satu telegram kepada Perdana Menteri petang ini bagi menyatakan hasrat kita (supaya) dapat berjumpa beliau dengan harapan kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian bonus itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs kali ke-11 di Wisma Cuepacs hari Selasa.
Seramai 135 perwakilan kongres, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menghadiri mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, tidak mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, sebaliknya memberi bantuan kewangan khas sebanyak RM500 bagi Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan, bagi menampung perbelanjaan persiapan sekolah.
Omar berkata tuntutan pemberian bonus telah dibuat sejak beberapa tahun lepas, namun ditolak kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika itu.

Beliau yang berterima kasih di atas pemberian bantuan kewangan khas itu, masih berharap kerajaan dapat memberikan sekurang-kurangnya sebulan bonus.
Ditanya mengenai pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan digantikan dengan sistem penilaian baru, Omar berkata, Cuepacs menyambut baik pengumuman itu, namun berharap mereka akan dipanggil berbincang mengenai penggubalan sistem baru tersebut.
"Kita berharap pada Julai 2011 nanti, sistem penilaian baru yang baik dapat diwujudkan, dan wakil dalam Cuepacs turut dipanggil bagi berbincang apakah sistem yang terbaik bagi penambahbaikan dalam perkhidmatan awam pada masa kini," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa PTK yang bakal diadakan bulan ini, tetap diteruskan sehingga satu sistem penilaian baru diwujudkan pada Julai tahun depan.
-- BERNAMA

Wednesday, August 25, 2010

BONUS RAYA BUAT 1.2 JUTA PENJAWAT AWAM



DUIT RAYA

Berita Harian
2010/08/26




PM umum lebih 1.24 juta penjawat awam, 590,000 pesara dapat RM500 sebelum 1 SyawalKUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta kakitangan awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500, sebelum 1 Syawal. Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, keputusan membuat bayaran kepada kakitangan Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu diambil selepas mengambil kira kebajikan mereka, terutama bagi meringankan beban kos persediaan menyambut Aidilfitri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta, iaitu RM639.6 juta bagi kakitangan awam dan RM295 juta bagi pesara.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan kerana pemberian itu dapat meringankan beban mereka bagi menyambut Aidilfitri bulan depan. Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata pemberian itu sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam, katanya. Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan bonus lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011, pada 15 Oktober depan. Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zainber meminta kerajaan mengetatkan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga, peruncit dan pengedar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang apabila mendengar kerajaan memberikan bantuan khas itu. Kami berharap kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menaikkan harga barang kerana tiada gunanya bantuan khas ini diberikan kepada kakitangan awam jika peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang, katanya. Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata pihaknya berpuas hati kerana kerajaan tidak meminggirkan pesara. Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan pesara yang pernah berkhidmat kepada negara, katanya. Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara, selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

Monday, August 16, 2010

PEKERJAAN SEPARUH MASA

MEKANISME BENARKAN PEKERJA LAKUKAN KERJA SEPARUH MASA PERLU KAJIAN TELITI - CUEPACS

Bernama
17/8/2010



PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Mekanisme yang membenarkan petugas dalam sektor awam dan swasta bekerja separuh masa mulai 1 Okt tahun ini perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan produktiviti dan prestasi pekerja tidak terjejas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata kebenaran itu akan memberi manfaat besar kepada golongan pekerja khususnya kakitangan awam kerana berpeluang menambah pendapatan mereka, tetapi ia perlu dikaji daripada segenap aspek agar tidak memberi masalah di kemudian hari.

Keputusan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi produktiviti dan prestasi pekerjaan sebenar petugas terbabit, apatah lagi jika mereka memperoleh pendapatan yang lebih lumayan dalam kerja separuh masa itu berbanding gaji yang diperoleh daripada pekerjaan tetap, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Sri Perdana di sini Isnin malam.

Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam hari ini bahawa lebih satu juta pekerja sektor awam dan swasta akan dibenarkan melakukan kerja separuh masa selepas peraturan baru mengenainya siap digubal dalam masa dua bulan lagi.

Omar berkata tindakan itu perlu disusuli dengan pemerhatian teliti dalam segenap aspek, termasuk perlindungan ke atas pekerja sewaktu melakukan kerja separuh masa berkenaan.

"Kita nak tahu, sekiranya kakitangan awam ini ditimpa kemalangan sewaktu sedang melakukan kerja separuh masa, adakah mereka tertakluk dalam insurans dan pampasan oleh majikan sebenar atau majikan separuh masa mereka," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Cuepacs meminta agar kerajaan memberi bantuan kewangan kepada penjawat awam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Omar berkata perkara itu telah pun dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya telah sampaikan kepada Perdana Menteri tadi, meminta jasa baik kerajaan untuk memberi pendahuluan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 kepada kakitangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Seperti yang diketahui, gaji pada bulan Ogos telah digunakan untuk persiapan menyambut Ramadan, justeru sedikit bantuan kewangan amat diperlukan bagi membolehkan persiapan lebaran dilaksanakan dengan sempurna," katanya.